MELAKA
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mewajibkan semua peniaga dalam
talian yang menjalankan perniagaan melalui pasaran dalam Internet atau menerusi
syarikat e-dagang seperti Lazada, berdaftar dengan SSM dalam tempoh enam bulan
akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM,
Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, langkah berkenaan, yang turut menepati
Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, bertujuan melindungi pengguna daripada ditipu
selain memberi jaminan kepada pembeli.
"Langkah ini dimulakan
dengan peniaga dalam talian yang menjual produk atau barangan menerusi platform
Lazada dan akan diperluaskan bagi pasaran dalam Internet antaranya Fashion
Valet dan sebagainya.
"Usaha ini akan kita
lakukan menerusi memorandum persefahaman dengan syarikat e-dagang yang ada di
negara ini secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas majlis
pengagihan zakat korporat SSM di sini, malam tadi.
Turut hadir ahli Parlimen
Tangga Batu, yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr
Abu Bakar Mohamad Diah serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh merangkap Pengerusi
SSM.
Mengulas lanjut, Zahrah
berkata, SSM akan memberi tempoh selama 30 hari kepada peniaga untuk mendaftar
dengan suruhanjaya itu.
Beliau berkata, syarikat
e-dagang turut dikehendaki memantau pendaftaran peniaga yang bernaung di bawah
perniagaan mereka, dan peniaga yang gagal berbuat demikian akan digugurkan
daripada menyertai platform dalam talian tersebut.
"Peniaga yang tidak
mendaftar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956
yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara atau denda
RM50,000 atau kedua-dua sekali," katanya.
Terdahulu pada majlis itu, SSM
menyampaikan sumbangan zakat korporat SSM berjumlah RM70,000 kepada 250
golongan asnaf serta sumbangan kepada 12 masjid di kawasan Parlimen Tangga
Batu.
- Sumber : Bernama