KUALA
TERENGGANU: Sebanyak 240 gerai jualan produk membabitkan usahawan Terengganu
dan Thailand akan dibuka sempena Karnival Minggu PKS Terengganu 2016 di Dataran
Syahbandar bermula 19 hingga 25 Mei ini. Karnival yang julung kali diadakan
itu, dianjurkan Kerajaan negeri dengan kerjasama SME Corporation Malaysia dan
Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan
Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud, berkata
karnival itu juga membabitkan kerjasama One Tambun One Produk (OTOP), Thailand.
Katanya, penganjuran itu adalah hasil lawatannya bersama Majlis Sekretariat
Pembangunan Usahawan Terengganu ke negara jiran, Oktober tahun lalu.
"Hasil perbincangan bersama SME Corp dan YPU, mereka bersetuju membawa 120
usahawan dari Thailand menyertai Minggu PKS tahun ini," katanya selepas
pelancaran Minggu PKS 2016 dan OTOP Thailand Peringkat Negeri Terengganu di
Pekarangan Pejabat YPU, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
YPU, Tengku Khairi A Rahman; Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim dan
Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri, Salemi Yusof. Roslee berkata,
pihaknya menyasarkan 10,000 pengunjung ke karnival yang turut menyediakan
khidmat nasihat perniagaan. Katanya, pihaknya juga akan mengenalpasti 120
usahawan Muslim Thailand membabitkan produk makanan, kraftangan, kecantikan dan
perubatan. "Matlamat utama jalinan kerjasama ini sedikit sebanyak dapat
membantu usahawan Terengganu berkongsi dan mempelajari teknik pembungkusan
usahawan Thailand," katanya.
Sumber Rujukan : Berita Harian
***Datanglah beramai-ramai ke booth Top IT Industries Sdn. Bhd. dan temui kami Team Payang.my di karnival tersebut bermula jam 10 pagi - 10 malam.