Wednesday, 10 February 2016

MAKANAN TRADISIONAL TERENGGANU



Bagi yang bercuti ke Terengganu jangan tak cuba beberapa jenis makanan tradisional Terengganu yang popular sama ada kuih muih, lauk pauk mahupun makanan santai. Beberapa menu dalam senarai di bawah turut disertakan dengan tempat dan restoran mana yang boleh anda pergi untuk mencari makanan-­makanan tradisional orang Terengganu. Ada juga beberapa jenis makanan tradisi Terengganu yang juga ada di Kelantan. Contohnya nasi dagang, di Terengganu nasi dan kuahnya memang berlainan rasa daripada nasi dagang Kelantan. Apa-­apa pun, senarai di bawah merupakan nama makanan di Terengganu yang memang semua orang tahu dan menjadi makanan harian.

Keropok Lekor

Makanan Tradisional yang popular di Terengganu. Tidak perlu ditakwil dan dipertikaikan lagi, asal keropok lekor sememangnya dari Negeri Terengganu. Memandangkan Negeri Terengganu kaya dengan sumber ikan, maka boleh dikatakan dari Kemaman sampailah ke hujung Besut ada je gerai yang menjual keropok lekor. Kalau di Kuala Terengganu, antara kedai yang popular ialah di Losong dan juga di Seberang Takir. Kalau di Kemaman, anda boleh ke Kg Geliga.
 

Nasi Dagang

Nasi Dagang seringkali dijadikan makanan sarapan pagi di negeri Terengganu. Secara tradisionalnya, nasi dagang dibungkus di dalam daun pisang berbentuk kon dan diikat dengan menggunakan lidi.



Ketupat Sotong

Masakan tradisional Terengganu dan lauk yang memang cukup sinonim di Terengganu di mana sotong akan disumbat dengan beras pulut dan dimasak secara berkuah lemak. 

Sata
Sata boleh dikatakan merupakan menu makanan yang menjadi ikon utama kepada daerah Kemaman. Banyak kedai di sini yang menjual sata dan sering menjadi makanan santai di waktu petang.


Pulut Lepe
Pulut Lepe adalah nama Terengganu kepada pulut panggang. Berbeza dengan pulut panggang Kelantan yang pulutnya lebih manis, pulut panggang di Terengganu rasanya tawar dan lebih rasa ikan pada intinya di tengah­tengah.


Nganang
Nganang atau juga dikenali dengan Menganang merupakan kuih yang rasanya seakan-­akan kuih Akok yang popular di Kelantan. Namun tidak seperti akok yang dimasak dalam acuan yang lebih kecil, bentuk kuih nganang ini biasanya dalam bentuk seperti kek yang lebih besar. Terdapat beberapa jenis kuih nganang seperti telur, kacang, beras dan pandan. Kalau yang kaler hijaunya pula, lebih dikenali dengan nama Kuih Bako.


Laksam

Laksam pula dihidangkan seperti laksa di atas dengan pilihan dua jenis kuah dan potongan ulam-­ulaman sebagai sayurnya. Cuma yang membezakan antara laksa dan laksam, mee yang digunakan berbentung gulung dan juga dibuat daripada tepung beras.

Asam Guppa
Kuih bersagu yang ada inti kacang ditengah-tengahnya dan dimakan dengan kuah putih bersantan. Ada juga sesetengah jenis asam guppa yang tiada inti dan dimakan dengan kuahnya sahaja. Cara penyediaan kuih ini juga agak rumit dan memang agak susah nak cari kuih ini di Terengganu. Kuih Asam Guppa memang popular di Terengganu dan Kelantan terutamanya pada bulan puasa.


Dodol Daun Palas
Kueh yang diperbuat daripada tepung beras pulut sebagai bahan mentah utamanya ini menjadi enak dan unik rasanya apabila dibalut atau dibungkus dengan menggunakan daun palas. Dodol daun palas ini menjadi lebih sedap apabila dibiarkan lebih lama di dalam daun palas. Isi dodolnya menjadi lebih kental dan bahagian luar akan berkeping atau keras sedikit menjadikan lapisan luar isi dodol sedikit bergula dan rangup.



 






No comments:

Post a Comment